~soaljawab : tekanan darah rendah wanita hamil~

hamil

Soalan:

Saya seorang ibu muda berusia 19 tahun. Saya mempunyai persoalan yang memerlukan kepastian. Saya kini sedang hamil dan semenjak hamil, tekanan darah saya semakin turun. Tekanan darah normal saya adalah 110/70 dan 110/60, tetapi telah mencecah kepada 90/53 dan kini 90/40. Adakah keadaan ini membahaya atau petanda yang tidak baik? Malahan, berat saya juga menurun sebanyak 3.7 kg. dalam masa tujuh minggu. Saya pernah pitam dan menjadi seram sejuk dengan tiba-tiba. Saya juga selalu hampir pitam apabila ingin berdiri ketika sedang duduk atau baring. Keadaan ini kerap berlaku. Mohon keterangan lanjut daripada yang pakar. Segala maklum balas, saya dahului dengan ucapan setinggi terima kasih. Selamat berpuasa.
-Nabila-

Jawapan:

Nabila,
Ketika mengandung, tubuh ibu menyediakan suasana persekitaran yang selamat di samping memberi nutrisi/pemakanan kepada bayi yang sedang membesar di dalam kandungannya.
Oleh yang demikian, seorang wanita yang mengandung akan mengalami perubahan fizikal dan fisiologi yang dramatik, termasuklah yang melibatkan sistem peredaran darah atau tubuh.

Perubahan sistem peredaran tubuh yang mencirikan proses mengandung normal adalah disebabkan oleh vasodilatasi (penambahan diameter pembuluh darah, khususnya arteri) periferal.

Semasa mengandung, tekanan darah adalah lebih rendah akibat perubahan hormon yang menyebabkan saluran darah mengembang.

Salur-salur darah juga tidak mengalami kontraksi/pengecuta n secepat mahupun secekap sebelum mengandung sebagai suatu tindak balas kepada perubahan gaya atau kedudukan tubuh.

Oleh sebab itu, seseorang yang berdiri dengan cepat tidak memberi masa secukupnya untuk sistem peredaran melakukan penyesuaian, seterusnya tidak cukup darah dan oksigen sampai ke otak dan ibu yang mengandung itu akan berasa pitam.

Semasa hamil, jantung akan bekerja mengepam darah kepada rahim dan bayi dalam kandungan dengan lebih kuat. Pengeluaran kardiak/berkaitan jantung bertambah dari seawal lima minggu kehamilan.

Jumlah darah yang dipam oleh jantung meningkat 45 peratus apabila janin berusia 24 minggu. Denyutan jantung meningkat 30 peratus.

Denyutan nadi boleh meningkat dari kadar 60 ke 70 denyutan seminit sebelum mengandung kepada 80 ke 90 denyutan seminit semasa hamil.

Walaupun terdapat penambahan dramatik pengeluaran kardiak, tekanan darah menurun semasa trimester kedua kehamilan dan kembali ke normal semasa trimester ketiga.

*Pitam

Itu sebabnya kenapa wanita hamil lebih cenderung mengalami pitam semasa trimester pertama dan kedua. Apabila usia kandungan meningkat, rahim akan membesar dan memberi tekanan kepada pembuluh darah vena kava inferior yang bertugas mengalirkan darah dari bahagian kaki kembali ke jantung. Kesan tekanan ini akan menghalang pengaliran darah semula ke jantung.

Jika wanita hamil berbaring, rahim yang semakin membesar itu boleh menghalang pengaliran darah balik ke jantung dan mengakibatkan sindrom supine hypotensive yang berlaku pada 10 hingga 15 peratus wanita hamil. Keadaan-keadaan yang disebutkan ini boleh menyebabkan rasa pening kepala dan pitam.

Selain itu, rahim yang membesar akan menolak diafragma ke arah dada dan menyebabkan wanita hamil berasa sukar bernafas. Volum plasma atau darah meningkat 50 peratus dari seawal enam minggu kehamilan untuk memenuhi keperluan janin. Komponen cecair dalam salur darah meningkat dengan lebih banyak lagi berbanding sel-sel darah merah pembawa oksigen. Akibatnya, wanita hamil akan menjadi anemik, yang merupakan kesan yang normal akibat perubahan fisiologi kehamilan.

Walaubagaimanapun, jika zat besi tidak mencukupi dalam pemakanan ibu, anemia akan bertambah teruk dan menyumbang kepada rasa pitam apabila berubah kedudukan. Semasa peringkat awal kehamilan, ibu hamil kerap mengalami loya dan muntah yang disebabkan oleh paras hormon estrogen dan human chorionic gonadotropin (HCG) yang tinggi.

Gejala-gejala ini biasanya dirasai semasa minggu ke tujuh hingga ke lapan kehamilan dan beransur reda semasa minggu ke-12 hingga ke-15 kehamilan. Muntah yang berlebihan dan berpanjangan pada peringkat ini akan menyebabkan kesan dehidrasi, kebuluran, penurunan berat badan dan mengganggu perkembangan janin yang semakin membesar. Kebuluran menyebabkan ketosis (persekitaran berasid) yang boleh memudaratkan janin. Oleh itu, jika keton dikesan dalam air kencing, ibu hamil perlu dimasukkan ke dalam wad.

Rawatan hidrasi dengan cecair intravena akan memulihkan keadaan ibu hamil. Rasa loya dan muntah boleh dikurangkan dengan mengubahsuai pemakanan atau tabiat makan. Makan dan minum dalam kuantiti yang kecil dan secara kerap boleh membantu. Makan sebelum berasa lapar juga dapat membantu mengatasi masalah ini.

Biskut kraker mahupun roti bakar boleh dimakan sebelum bangun dari katil pada waktu pagi untuk mengurangkan rasa loya dan muntah.

Minuman isotonik baik diminum kerana ia ideal untuk menggantikan garam elektrolit yang mungkin hilang akibat muntah yang berpanjangan.

Elakkanlah dari makanan serta bau-bauan yang menyebabkan ibu hamil berasa loya.

Ibu hamil juga boleh mempraktikkan beberapa langkah yang dapat membantu mengatasi masalah-masalah atas.

* Untuk mengelakkan rasa pening dan pitam, apabila bangun dari tidur, duduk dan tunggu selama 15 saat, kemudian gantungkan kaki dari katil dan tunggu 15 saat, berdiri dan tunggu selama 15 saat, dan barulah mula berjalan.

* Jika rasa pening pada siang hari, pulihkan dengan mengambil makanan ringan, minumlah segelas jus oren sebelum bangun dari katil.

* Elakkanlah dari berdiri pada satu tempat tanpa bergerak kerana ini menyebabkan darah terkumpul di bahagian kaki. Sebaliknya, berjalan tanpa bergerak supaya otot-otot betis dapat membantu mengepam darah semula ke jantung.

* Untuk pening yang disebabkan oleh anemia, rawatan suplemen dengan zat besi patut diambil.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Kamsuraini Ibrahim.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>