PASIR PUTEH: Barangan terbuang boleh membahayakan kanak-kanak. Itulah terjadi kepada Norafah Amalina Azmi, 5, yang maut apabila lehernya tersepit pada besi kaki meja lipat yang dibuang keluarganya berdekatan rumah mereka.
Dia sebelum itu bermain `pondok-pondok’ menggunakan meja itu bersama sepupu, Nor Widak Akilah Azhar, 2, kira-kira tiga meter dari rumahnya di Kampung Alor Hijau, dekat sini, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.
Nenek mangsa, Che Zaharah Abdullah, 64, berkata arwah sering bermain `pondok-pondok’ bersama beberapa sepupu menggunakan peralatan terbuang, termasuk meja makan plastik itu yang diterbalikkan kakinya ke atas.
Katanya, meja itu memang sudah lama dibuang tetapi diletakkan berhampiran rumah dan tidak menyangka mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.
“Saya percaya arwah berada di atas meja itu sebelum tertendang kaki meja itu menyebabkan besi penghadangnya terjungkit dan terkena lehernya.
“Arwah mungkin terjatuh dan tak berjaya melepaskan besi yang tersangkut pada lehernya sebelum rebah dan mencengkam lehernya sehingga sukar bernafas,” katanya ketika ditemui, semalam.
Che Zaharah berkata, Nor Widak Akilah, anak keenam daripada tujuh beradik, mungkin cuba melepaskan diri tetapi akibat meronta-ronta mungkin menyebabkan besi di lehernya makin mencengkam sehingga sesak nafas.
“Kejadian disedari sepupunya, Norsabrina Azhar, 8, selepas mendapati Norafah terbaring dan seolah-olah tidur lalu bergegas memberitahu kakak mangsa, Norzahra Shafiqah, 11, yang ketika itu di dalam rumah bersama mak cik.
“Norzahra yang terkejut kemudian keluar dan mendapati adiknya tidak sedarkan diri sebelum memberikan pertolongan, ” katanya.
Tindakan itu gagal sebelum meminta bantuan nenek mereka yang kemudian menarik Norafah.
“Saya meminta bantuan jiran menghantar arwah ke Klinik Kesihatan Selising tapi dia meninggal dunia sebaik tiba di klinik itu,” katanya.
Difahamkan ketika kejadian, bapa mangsa, Azmi tiada di rumah, manakala ibunya, Ramlah Ismail, 40, masih berpantang di rumah.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis dekat sini, kira-kira jam 9 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Hijau, petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 6 petang, sebelum ke rumah mangsa.
Beliau berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, polis menjalankan siasatan dan mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat tersangkut besi kaki meja lipat ketika bermain bersama sepupunya.
“Kami masih menjalankan siasatan dan mengklasifikasikan mangsa mati mengejut,” katanya.
Sumber: Forwarded EmailĀ
Popularity: 8% [?]




























