Kes Buang Bayi – Angkara Siapa?


MENYAYAT HATI… Mayat seorang bayi lelaki terdampar di atas rumput dan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam di Flat Lobak, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 5 Feb. – Bayi siapakah ini? Kalau mereka benar-benar manusia, bayi yang cukup sempurna sifatnya ini tidak akan dibuang seperti ini.

Siapa yang melihat gambar bayi ini pasti akan berlinang air mata. Insan yang baru bernafas untuk hidup dinafikan haknya – mungkin oleh ibu yang melahirkannya sendiri.

Fenomena yang membimbangkan ini semakin menjadi-jadi.

Bayi itu ditemui terdampar di Flat Lobak di sini pagi ini, dengan kepala dan hidung yang masih berlumuran darah serta tali pusat yang masih terlekat dan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam di satu lokasi lain.

Menurut jurucakap polis, mereka percaya suspek cuba membuang bayi itu di kawasan tong sampah dan apabila bertemu dengan orang ramai yang lalu di kawasan itu, bayi itu ditinggalkan di situ sebelum suspek menghilangkan diri.

“Mayat bayi ini ditemui penduduk kira-kira 11.45 pagi dan jika dilihat pada fizikal mayat, bayi itu bukan dibuang dari tingkat atas flat berkenaan, sebaliknya ditinggalkan di situ oleh suspek.

“Keadaan mayat bayi, kita lihat sudah ada kesan biru pada kaki dan kita percaya dia meninggal lebih dari 24 jam. Mungkin, suspek cuba membuang bayi ini di tong sampah berhampiran dan tidak sempat berbuat demikian kerana kawasan itu sering kali digunakan oleh penduduk.

“Daripada pengamatan awal, kita syak bayi ini berketurunan Cina. Mayat bayi itu, kita hantar ke Hospital Tuanku Ja’afar dan bedah siasat mungkin dilakukan hari ini atau esok. Bayi itu mungkin sudah meninggal semasa dilahirkan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, suasana hiba dan pilu jelas terbayang pada wajah orang ramai yang menyaksikan bayi berkenaan ketika mayatnya diangkat oleh anggota polis, malahan ada yang mengalirkan air mata melihat kekejaman yang dilakukan oleh manusia tidak bertanggungjawab itu.

Mereka berkata, ini bukan kerja manusia tetapi manusia yang bertopeng ‘binatang’.

Gan Xie Hua, berusia 50-an yang mula-mula menemui mayat bayi berkenaan berkata, dia terkejut dengan kejadian ini dan sebaik terlihat objek di atas rumput belakang flat berkenaan, hatinya sudah tergerak apa yang dilihat itu memang seorang bayi yang telah dibuang.

“Apabila saya menghampirinya, saya menggigil dan ia mayat bayi lelaki yang cukup sifat. Saya bergegas ke rumah seorang jiran dan memberitahunya. Apabila saya menjelaskan kepadanya, dia tidak percaya.

“Tetapi selepas menghampiri mayat itu, dia percaya itu adalah bayi lelaki yang sudah meninggal dunia. Kami terus menghubungi polis,” katanya.

Rahmi Bustamam, 21, yang tinggal di flat berkenaan terkejut dan kesal apabila ada manusia yang sanggup membuang bayi yang dilahirkan begitu sahaja.

“Saya sedang membasuh baju pada pukul 11.30 pagi apabila seorang jiran bergegas memaklumkan yang dia menemui seorang bayi di atas rumput, belakang flat ini.

“Apabila saya turun, saya hampir menangis apabila bayi itu cukup sifatnya, tali perut masih terlekat dan lebih menyayat hati, dia mati dan ditinggalkan di atas rumput dan sudah dihampiri lalat. Darah di muka dan hidungnya masih ada,” katanya.

Sumber: Utusan Online 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>