~ibu bapa punca anak kurang selera makan~

Kanak-kanak mesti dilatih lebih awal supaya mereka biasa dengan pelbagai sayur, buah-buahan

Kita sering mendengar keluhan daripada ibu bapa yang mengatakan anak mereka kurang selera makan. Kebimbangan mereka memuncak apabila mendapati berat anak mereka terus menurun.

Sebagai ibu bapa kita perlu faham bahawa terdapat pelbagai faktor menyebabkan selera makan kanak-kanak berkurangan. Antaranya faktor makanan itu sendiri, rasanya, penyajian kurang baik, menu makanan tidak menarik dan tidak bervariasi.

Selain itu, masalah anak tidak mahu makan terutama pada usia antara 1 hingga 3 tahun juga dipengaruhi sikap ibu bapa yang memaksa anak mereka makan dalam jumlah tertentu.

Perlu disedari, paksaan boleh menyebabkan anak marah dan memberontak ketika diberi makan. Dalam menghadapi keadaan begini, kesabaran amat diperlukan dan ibu bapa wajar memberi kasih sayang seperti memujuk dengan lemah lembut.

Kurang selera makan dalam jangka masa yang lama pada kanak-kanak boleh membahayakan kesihatannya seperti kekurangan gizi (zat) dan melambatkan pertumbuhan serta perkembangan minda mereka.

Memilih makanan yang sihat dan mengurangkan risiko kepada kesihatan kanak-kanak, bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi terdapat pelbagai makanan ringan atau makanan segera di luar. Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab untuk mengawal pola makanan dan jenis makanan anak mereka.

Mengikut kajian, pola pemakanan dan jenis makanan yang dimakan oleh kanak-kanak sekarang lebih banyak memberi kesan buruk kepada pertumbuhan mereka. Ibu bapa perlu memilih makanan yang benar-benar diperlukan bagi perkembangan kesihatan anak mereka.

Pakar Pemakanan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Suhaila Mohamed, berkata kanak-kanak membesar dengan cepat tetapi saiz perut mereka tetap kecil iaitu sebesar genggaman tangan.

“Mereka memerlukan makanan yang sedikit tetapi berkhasiat dan mengandungi pelbagai vitamin serta zat galian,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak pada usia antara 1 hingga 3 tahun perlu diberikan makanan keluarga sesuai dengan pertumbuhan mereka.

“Bayi berumur antara 6 hingga 12 bulan pula boleh diberi daging, nasi dan sayuran yang dikisar dan dihancurkan. Bagi yang berumur satu tahun ke atas, mereka mempunyai daya fizikal untuk memakan makanan yang bertekstur seperti makanan seisi keluarga.

“Biasakan kanak-kanak pada usia ini boleh diberi jus buah-buahan dan sayuran yang berkhasiat bagi menggantikan nutrien yang kurang dalam badan mereka. Semua jenis buah-buahan dan sayuran baik untuk mereka,” katanya.

Katanya, sediakan sayur dan buah-buahan setiap kali waktu makan dengan memulakan sedikit demi sedikit supaya minat mereka timbul.

Dr Suhaila berkata, kanak-kanak harus dilatih dari awal supaya mereka biasa dengan pelbagai sayuran dan buah-buahan.

“Buah-buahan boleh diberi dalam bentuk jus atau dipotong kecil supaya mudah hadam. Tekstur makanan yang diberikan perlulah sentiasa diawasi bagi mengelakkan kanak-kanak dari tercekik.

“Cara mereka disuap dan kadar makanan yang diberikan perlu sesuai mengikut pertumbuhan mereka,” katanya.

Katanya, pelbagaikan cara penyediaan makanan dan memujuk dengan lembut adalah amalan yang paling baik.

“Beri galakan supaya mereka makan tetapi bukan memaksa. Beri makanan perlahan-lahan dengan penuh kesabaran. Ibu bapa perlu mempelbagaikan jenis makanan dan mengurangkan gangguan supaya waktu makan menjadi kesempatan untuk mereka belajar,” katanya.

Beliau berkata, perlu diingatkan pergantungan kepada susu ibu atau susu tin tidak memadai untuk menampung pertumbuhan kanak-kanak.

“Sayur dan buah-buahan perlu diberi agar khasiat penting yang tiada dalam susu dapat disalurkan.

“Soya adalah antara minuman yang berkhasiat dan penting untuk kanak-kanak pada usia antara 1 hingga 3 tahun,” katanya.

Katanya, makanan harian perlu lengkap dengan kandungan protein dan zat besi seperti ayam, daging lembu dan ikan kaya manakala sayuran yang kaya dengan vitamin A dan C termasuk labu kuning, lobak merah, ubi kuning, brokoli, tomato serta mangga.

“Pengambilan makanan tambahan seperti multi-vitamin mesti tinggi dengan kandungan tenaga, protein, zat galian, zat besi, zink, kalsium, vitamin A, vitamin C dan asid folik yang sesuai untuk pertumbuhan mereka.

“Pengambilan makanan tambahan ini sebaik-baiknya dimulakan dari peringkat awal. Selain dapat memberikan nutrien lengkap ia juga membantu menambah selera makan,” kata Dr Suhaila.

Beliau berkata, sayuran kaya dengan zat antioksidan seperti vitamin A, C dan E dapat mengurangkan risiko kanser.

“Fiber yang tidak larut dalam air terdapat dalam sayur yang tidak hadam dapat mencegah sembelit dan kanser,” katanya.

Jumlah makanan tambahan perlu diberi dalam sehari

  • Mulakan dengan 2 dan 3 sudu teh.
  • Berikan makanan tambahan tiga kali sehari bagi anak berumur 6 dan 7 bulan.
  • Tambahkan lima kali sehari apabila berumur 12 bulan.
  • Tambahkan snek apabila berumur 12 dan 24 bulan.
  • Tambahkan kadar dan pelbagaikan jenis makanan.
  • Gunakan sudu dan cawan – elakkan botol susu.
  • Tips untuk menggalakkan kanak-kanak makan sayur dan buah-buahan

  • Sediakan hidangan yang menarik dan pelbagai warna.
  • Bijirin sarapan bersama buah-buahan.
  • “Milk shake” buah-buahan.
  • Bekalkan buah-buahan ke sekolah.
  • Babitkan anak ketika membeli sayur dan buah-buahan.
  • Beri peluang si kecil memilih sayur dan buah-buahan yang disukai.
  • Sumber : Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>