info kehamilan

Jika tidak dirawat boleh mengalami masalah kekurangan darah

Mengalami pendarahan ketika hamil adalah perkara menakutkan hingga menyebabkan sesetengah wanita trauma untuk mengandung lagi. Mereka bimbang perkara sama akan berulang kerana masalah ini boleh membahayakan nyawa ibu dan anak dalam kandungan.

Biasanya pendarahan ketika hamil berlaku pada trimester ketiga akibat kedudukan uri (yang sepatutnya di atas) terletak di bahagian bawah rahim iaitu berhampiran pangkal rahim. Keadaan ini dipanggil plasenta previa.

Tanda utama plasenta previa ialah pendarahan pada trimester ketiga. Keadaan pendarahan berbeza dari semasa ke semasa. Ada kalanya pendarahan hanya sedikit, tetapi ada waktunya ia boleh menjadi banyak sehingga membahayakan. Pendarahan ini boleh berlaku bila-bila masa dan lazimnya berulang selepas beberapa hari atau minggu.

Uri akan terbentuk apabila seseorang wanita hamil. Ia bertindak menjadi penghubung di antara bayi dengan sistem darah ibu yang membekalkan oksigen dan khasiat makanan kepada bayi dan akan keluar bersama apabila bayi dilahirkan.

Ia juga bertanggungjawab menyingkir bahan sisa daripada darah bayi. Uri melekat pada dinding rahim dan tali pusat bayi yang menjadi penghubung utama di antara ibu dan anak dalam kandungan.

Pada awal kehamilan, uri mungkin di bahagian bawah rahim. Apabila janin membesar, biasanya uri bergerak dan tertolak ke atas menjauhi pangkal rahim.

Kedudukan uri boleh dikesan melalui ujian imbasan bunyi yang dilakukan pada pemeriksaan prenatal anda. Doktor akan memberitahu jika uri terletak di bawah sebelum kandungan masuk minggu ke-20.

Bagaimanapun, ia keadaan biasa dan dalam kebanyakan kes (lebih 80 peratus), uri tertolak ke atas apabila kandungan semakin membesar. Hanya 10 hingga 15 peratus kes uri kekal di bawah. Masalah mula timbul apabila janin semakin besar (memasuki minggu ke-26) dan memberi tekanan kepada uri sehingga menyebabkan pendarahan.

Insiden kedudukan uri rendah adalah kecil iaitu hanya 0.5 peratus atau satu kes bagi setiap 200 kehamilan, tetapi risikonya sangat tinggi kerana pendarahan boleh menyebabkan ibu dan bayi mengalami masalah kekurangan darah (anemia).

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Fatima Najla Mohd Jaffar, berkata jika tidak diberikan rawatan segera, ibu dan bayi boleh menemui maut akibat kehilangan terlalu banyak darah.

“Wanita yang ada masalah plasenta previa boleh mengalami pendarahan vagina selepas kandungan memasuki minggu ke-28, tetapi ia tidak menyebabkan rasa sakit.

“Perkara ini membimbangkan kerana pendarahan boleh berlaku dengan banyak atau dipanggil tumpah darah dalam masa singkat. Malah, ia boleh berlaku bila-bila masa tanpa sebab.

“Jika tidak dirawat, pendarahan boleh menyebabkan ibu dan bayi mengalami masalah kekurangan darah. Ini sebabnya wanita yang disahkan ada masalah plasenta previa major perlu dimasukkan ke hospital sehingga bersalin,” katanya.

Bagaimana pendarahan boleh berlaku? Ia boleh berlaku apabila bahagian bawah rahim mula mengalami perubahan bentuk dan menjadi nipis sebagai persediaan untuk melahirkan anak.

Namun, oleh kerana uri tidak boleh meregang seperti rahim, ia merekah pada tempat tertentu lalu menyebabkan pendarahan. Pada peringkat awal, pendarahan biasanya sedikit tetapi ada risiko berlaku banyak pendarahan pada bila-bila masa tanpa tanda atau amaran. Pendarahan ini juga menyebabkan wanita menjadi pucat, berpeluh dan jantung berdegup cepat.

Punca, jenis dan faktor risiko

Sehingga kini tiada siapa tahu punca sebenar plasenta previa. Namun, ada hipotesis mengaitkan ia dengan salur darah tidak normal pada lapisan endometrium (dinding rahim) akibat pembedahan atau jangkitan. Malah, bentuk rahim tidak normal juga boleh menyebabkan plasenta previa.

Masalah ini boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu:

  • Jenis I atau uri rendah. Uri terletak pada bahagian paling bawah rahim (uterus) tetapi tidak sampai ke pangkal rahim.
  • Jenis II atau pinggiran. Uri menyentuh bahagian atas pangkal rahim, tetapi tidak menutupinya. Bagaimanapun, kumpulan wanita yang ada masalah seperti ini masih perlu menjalani pemeriksaan dari semasa ke semasa.
  • Jenis III atau separa. Uri menutup separuh pangkal rahim.
  • Jenis IV atau lengkap. Uri menutup seluruh pangkal rahim.


Jenis I dan II dikenali sebagai plasenta previa minor, manakala jenis III dan IV dikelaskan sebagai plasenta previa major yang sering menyebabkan pendarahan membimbangkan.

Namun, bukan semua kes uri di bawah dipanggil plasenta previa. Jika kandungan kurang daripada 28 minggu, masalah ini dikategorikan sebagai uri rendah dan hanya selepas kandungan memasuki 28 minggu dan masalah ini berterusan baru ia dipanggil plasenta previa.

Komplikasi

Jika anda mengalami masalah plasenta previa, doktor akan memantau kesihatan anda dan bayi dalam kandungan untuk mengurangkan komplikasi seperti:

  • Pendarahan yang banyak.
  • Kelahiran pra matang (tidak cukup bulan).
  • Kedudukan uri di bawah juga boleh menyebabkan kedudukan bayi menjadi tidak betul, sama ada menyongsang atau melintang, terutama bagi wanita yang mengalami plasenta previa major. Malah, masalah ini meningkatkan risiko wanita untuk mendapat masalah plasenta akreta.
  • Plasenta akreta (uri tertanam dalam dinding rahim dan ia sukar tercabut secara semula jadi apabila bayi dilahirkan). Jika keadaan serius, doktor terpaksa menjalankan pembedahan pembuangan rahim untuk menyelamatkan nyawa ibu. Plasenta akreta tidak boleh dibiarkan kerana ia menyebabkan pendarahan berterusan selagi tidak dikeluarkan. Bagaimanapun keadaan ini jarang berlaku.
  • Plasenta abruptio. Uri terpisah atau tercabut dari dinding rahim sebelum sampai waktu melahirkan anak. Ia boleh menyebabkan bayi mengalami kesesakan akibat ketiadaan bekalan oksigen dan nutrien. Malah, keadaan ini mengakibatkan pendarahan yang membahayakan nyawa ibu dan bayi. Walaupun ia boleh terjadi kepada wanita yang tiada masalah plasenta previa, masalah ini jarang berlaku.


Adakah ia membahayakan bayi anda?

Masalah uri rendah secara umumnya tidak mendatangkan bahaya pada bayi. Namun jika menyebabkan pendarahan, ia boleh mengakibatkan bayi turut mengalami masalah kekurangan darah.

Pendarahan boleh berlaku bila-bila masa bermula dari kandungan berusia 28 minggu hingga sebelum bersalin. Masalah ini juga boleh menyebabkan seseorang wanita terpaksa bersalin awal (tidak cukup bulan atau kurang 36 minggu).

Lebih membimbangkan, pendarahan banyak yang berlaku ketika kandungan kurang daripada 26 minggu boleh menyebabkan keguguran. Malah, si ibu boleh meninggal dunia jika dimasukkan ke hospital yang tiada bekalan darah.

Rawatan dan penjagaan bergantung kepada masalah dihadapi, sama ada pesakit perlu berehat di atas katil, memerlukan pemindahan darah atau menjalani pembedahan Caesarean. Bagi pendarahan akut (banyak dalam masa singkat), pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan pemeriksaan rapi dilakukan untuk memastikan ia tidak berulang.

Malah, pesakit mungkin terpaksa menerima bekalan darah jika pendarahan terlalu banyak. Namun, dalam kebanyakan kes, di bawah pengawasan doktor, wanita boleh meneruskan kehamilan sehingga bayi cukup matang untuk dilahirkan.

Bagi wanita yang ada plasenta previa tetapi tidak mengalami pendarahan, mereka masih perlu berehat di hospital sehingga bayi cukup matang (antara 36 hingga 38 minggu kehamilan) untuk menjalani pembedahan.

“Wanita yang mengalami masalah ini dinasihatkan memilih hospital yang ada bank darah dan kelengkapan mencukupi. Wanita juga perlu memaklumkan doktor mengenai masalah yang dihadapi jika membuat pemeriksaan di tempat lain.

“Hospital akan menyimpan bekalan darah untuk pesakit dan memberi suntikan pada wanita yang pernah mengalami pendarahan. Suntikan ini diberikan sebelum minggu ke-34 kehamilan untuk mematangkan paru-paru bayi. Jika berlaku pendarahan lagi, doktor akan segera melakukan pembedahan Caesarean,” katanya.

Masalah plasenta previa bukan penghalang untuk anda mengandung lagi kerana tidak semestinya perkara ini berulang. Malah, anda juga boleh mendapat anak sihat dan comel seperti orang lain.

Namun Dr Fatima menyarankan wanita yang ada sejarah plasenta previa supaya menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun. Justeru, persediaan minda penting. Cari maklumat lanjut mengenai masalah ini supaya anda faham dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk komplikasi serta rawatan yang ada.

Sebaik mengetahui anda mengandung, bincang dengan doktor mengenai langkah yang perlu anda lakukan untuk mengelak pendarahan. Anda juga mungkin terpaksa mengurangkan aktiviti seks atau mengelakkannya langsung jika berlaku pendarahan.

Kumpulan berisiko

  • Terlalu kerap mengandung dan kehamilan yang terlalu rapat.
  • Pernah menjalani pembedahan Caesarean ketika melahirkan anak terdahulu.
  • Pernah menjalani pembedahan untuk membuang fibroid.
  • Mempunyai luka pada rahim.
  • Pernah menjalani dilation and curettage D & C (selepas menggugurkan anak) yang menyebabkan rahim luka dan berparut.
  • Mengandung pada usia terlalu muda (belasan tahun) atau lewat (melebihi 35 tahun). Risiko bertambah tinggi dengan peningkatan umur.
  • Pernah mengalami masalah plasenta previa pada kandungan terdahulu.
  • Mengandung anak kembar.
  • Merokok atau mengambil dadah.

Sumber: Forwarded Email

Popularity: 36% [?]

info cahayamata

Doktor,
Saya ada satu soalan ingin bertanyakan doktor. Anak yang kerap tidur buai, adakah ia elok untuk otaknya atau tidak?

Saya mempunyai seorang anak yang kini berusia dua tahun. Susah mahu menidurkannya. Jadi, setiap kali nak tidur, saya akan mengayunkan dia di dalam buai dahulu, baru boleh tidur.

Tidak kira siang atau malam, saya akan menggunakan buai untuk menidurkan anak saya itu. Selagi tak masuk dalam buai, dia tak nak tidur. Saya akan henjut buai dia dari setengah hingga satu jam, baru dia tidur.

Soalan saya doktor, adakah otak anak saya akan bergegar semasa saya mengayunkannya. Adakah memberikan kesan apa-apa kepadanya setiap kali saya membuainya dalam masa yang lama? Masalah ini amat merisaukan saya kerana saya bimbang, dia akan mengalami masalah dalaman otak.

Seperkara lagi doktor, anak saya apabila hendakkan sesuatu, dia suka menghantuk-hantukka n kepalanya ke lantai atau dinding. Sudah banyak kali dia menangis kerana perbuatannya itu.

Dia juga sangat aktif sehingga sekarang. Kadang-kadang, tingkah lakunya sukar dikawal, nak kita ikut cakap dia saja. Kalau tak ikut, mulalah anak saya itu mengamuk. Runsing saya memikirkannya doktor.

– ANITA

Anita,
Pernahkah puan mendengar lagu mendodoikan anak atau lullaby Inggeris Rock-a bye-baby yang berbunyi seperti berikut “When the bough breaks, the cradle will fall, down will come baby, cradle and all?”

Lagu ini menceritakan bagaimana buai itu patah dan jatuh ke bawah membawa bersamanya bayi sekali. Sememangnya tiada tempat yang lebih selamat untuk menidurkan bayi selain dari baby cot.

Buaian boleh menjadi satu punca kepada kecederaan kepala bayi dan boleh mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.

Penggunaan buai untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan pendarahan otak atau subdural haemorrhage.

Hakikatnya, kebanyakan kes pendarahan otak subdural yang bukan melibatkan kes penderaan boleh dikaitkan dengan penggunaan buai.

Otak bayi sebenarnya terapung dalam tengkorak dan jika bayi digerakkan dengan kuat, otak akan bergerak pada hala yang bertentangan dengan tengkorak.

Akibatnya, saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak pecah menghasilkan pendarahan otak subdural.

Henjutan buai yang perlahan-lahan itu tidak berbahaya tetapi pergerakan melantun buai dengan springnya menghasilkan pergerakan atas bawah seolah-olah seperti menggoyang bayi dalam tangan dengan kuat, menghasilkan kecederaan yang sama.

Hayunan buai juga boleh mengakibatkan kepala bayi terhantuk dinding. Pernah berlaku di mana abang kepada bayi yang berumur dua tahun yang gemar menghayun buai tidak sedar kepala bayi sedang menghentak dinding.

Ada juga kes di mana rangka besi buai jatuh menghempap bayi dan juga spring atau tali putus.

Ada juga bahaya yang lain seperti tercekik atau strangulation. Bila bayi sudah mula memusing badan ia mungkin terjaga dari tidur, memusingkan mukanya ke bawah dan leher boleh tersepit dalam lipatan kain buai.

Hentak kepala (Head banging)

Apabila anak kita mula mengamalkan tabiat hentak/hantuk kepala, kita naik risau dan bimbang mungkinkah ia boleh menyebabkan kerosakan pada otak.

Dua puluh peratus daripada kanak-kanak yang sihat melalui tabiat ini seketika. Lazimnya, umur bermula setahun setengah dan berakhir secara spontan menjelang umur empat tahun.

Lelaki adalah tiga kali lebih kerap memperoleh tabiat ini daripada perempuan. Kanak-kanak yang berusia lebih empat tahun dan masih mempunyai tabiat ini haruslah dibawa menjalani pemeriksaan lanjut.

Selalunya, kanak-kanak meninggalkan tabiat ini dengan sendiri ketika membesar tetapi kita boleh cuba mempercepatkan proses ini dengan mengamalkan cara sambil lewa bila ia berlaku.

Tabiat ini menjadi satu cara kanak-kanak ‘mengugut’ untuk mendapatkan sesuatu atau menarik perhatian. Apabila ia berlaku, kita mesti jangan mengalah dan mengikut segala rentak dan kemahuan mereka.

Pada ketika ia berlaku, kita mesti cuba mengalihkan perhatian kanak-kanak tersebut dan mengubahnya ke aktiviti lain.

Mujurnya, kanak-kanak yang sihat tidak akan mengalami apa-apa kecederaan yang serius dengan tabiat ini.

Rasa kesakitan mengelakkan mereka dari menghentak dengan kuat dan kanak-kanak bawah tiga tahun tidak boleh menghasilkan tekanan atau tenaga yang cukup untuk mendapatkan kerosakan otak.

Kepala kanak-kanak ini boleh menahan trauma yang menjadi kebiasaan ketika belajar jalan dan memanjat. Kanak-kanak sihat yang menghantuk atau menghentakkan kepala akan membesar menjadi remaja yang normal.

* Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.

Sumber:Forwarded Email

Popularity: 15% [?]

info kesihatan

Penyakit refluks gastroesofagus menyebabkan gejala seperti pedih ulu hati, sakit dada.

Mungkin sebilangan daripada kita percaya bahawa gastroesophageal reflux disease (GERD) adalah masalah orang dewasa. Sebenarnya, kanak-kanak dan bayi juga berhadapan dengan masalah ini.

Malah, ia bukan luar biasa untuk bayi yang baru dilahirkan mengalami muntah atau muak selepas penyusuan selain batuk dan masalah pernafasan.

Hampir 85 peratus bayi mengalaminya dalam masa seminggu selepas kelahiran manakala, separuh daripada bayi mengalaminya dalam tempoh tiga bulan pertama usia mereka.

GERD atau penyakit refluks gastroesofagus menjelaskan mengenai aliran ke belakang (refluks) jus asid perut yang digunakan untuk mencerna makanan ke dalam esofagus (tiub yang membawa makanan daripada mulut ke perut) yang menyebabkan gejala seperti pedih ulu hati dan sakit dada.

Keadaan ini terjadi kerana injap otot di bawah esofagus (lower esophageal sphincter-LES) gagal berfungsi sebaiknya. Pada sesetengah orang GERD dikaitkan dengan masalah saluran esofagus di bahagian bawah LES, otot serat yang selalunya menutup esofagus daripada perut. Jika ia tidak ditutup dengan sempurna, makanan dan cecair boleh kembali semula ke dalam esofagus dan menyebabkan kesakitan, keradangan dan kadang kala ulser.

Di kalangan bayi pula, antara 1:300 hingga 1:1000 mempunyai simptom reflux yang signifikan. Ia biasanya dise­babkan pembentukan LES yang belum sempurna.

Pakar Perunding Kanak-Kanak, Darul Ehsan Medical Centre, Dr Fadzillah Ghazali, berkata di kalangan kanak-kanak, masalah reflux semakin berkura­ngan apabila umur semakin meningkat.

Begitupun, ada beberapa sebab lagi yang menyebabkan terjadinya reflux di kalangan kanak-kanak. Antaranya, kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah saraf seperti Cerebral Palsy, lambat perkembangan dan sindrom down.

Selain itu, ia juga boleh terjadi di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan kronik seperti asma, kedudukan LES yang lebih banyak pada bahagian abdomen dan sudut penyambungan saluran makanan ke bahagian perut lebih ke atas.

Meskipun reflux boleh sembuh dengan sendirinya seiring peningkatan usia kanak-kanak itu tetapi ada juga kanak-kanak yang memerlukan rawatan lebih intensif.

Justeru, sebagai ibu bapa anda perlu perhatikan beberapa simptom yang signifikan.

Dr Fadzillah berkata, rawatan untuk masalah ini dibahagikan kepada bebe­rapa jenis dan jika ia bersifat sedikit (mild reflux) biasanya doktor akan memberi penerangan serta jaminan kepada ibu bapa.

“Ia lebih menjurus kepada nasihat mengenai posisi dan penyusuan atau pemakanan,” katanya.

Beliau berkata, jika reflux itu bersifat sederhana (moderate reflux) biasanya doktor akan memberi nasihat daripada sudut pemberian makanan. Misalnya bancuhan susu lebih pekat atau menggunakan susu formula khas untuk masalah ini.

Katanya, sekiranya reflux tidak terkawal dengan ubat-ubatan, biasanya pembedahan untuk menguatkan LES dilakukan.

INFO: Simptom yang signifikan

  • Berat badan tidak bertambah seperti yang sepatutnya.
  • Batuk berpanjangan dan kelihatan termengah-mengah.
  • Jangkitan kuman paru-paru (pneumonia) berulang.
  • Tanda oesophagitis (radang esofagus disebabkan rembesan asid berterusan daripada perut).
  • Darah dalam muntah dan najis.
  • Anaemia.
  • Sakit ulu hati (heartburn).
  • Kesukaran menelan makanan.
  • Pembentukan ulcer.
  • Sumber:Berita Harian

    Popularity: 14% [?]