Soalan:

Doktor,
Bayi saya dilahirkan dengan sejenis penyakit yang dikenali sebagai Dermatitis Bulossa, kini berusia 7 bulan. Sistem perkumuhannya (buang air besar) amat payah, kadangkala sehingga muntah-muntah. Saya tidak sampai hati melihatkan keadaannya itu. Saya ingin bertanya kepada doktor apakah pemakanan yang terbaik perlu saya sediakan untuknya. Segala maklum balas amat saya hargai. Terima kasih.

Jawapan:

Sembelit

Sembelit adalah satu masalah yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh pemakanan mereka yang tidak cukup mengandungi air dan serat atau fiber, ataupun kerana faktor-faktor lain dalam persekitaran kanak-kanak tersebut.

Seseorang kanak-kanak itu dikatakan mengalami sembelit apabila ia membuang air besar kurang tiga kali seminggu; bila najis itu keras, kering dan besar atau; apabila ia menjadi sukar untuk kanak-kanak tersebut membuang air besar.

Menghadapi masalah sembelit

* Berikan air yang lebih

Minum air yang mencukupi dan juga cecair lain, menolong pergerakan najis yang lebih senang melalui usus.

Keperluan air seseorang kanak-kanak ditentukan mengikut umur dan berat badan. Lazimnya kanak-kanak dalam umur persekolahan memerlukan tiga ke empat gelas air sehari.

Selain itu, boleh juga ditambah dengan satu hingga dua cawan jus setiap hari.

* Makanan kaya serat

Makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan roti bijirin penuh boleh membantu mengatasi masalah sembelit.

Serat ini tidak dihadam, jadi ia menolong membersihkan usus dalam pergerakan, ia melalui sepanjang usus.

Sementara itu, diet yang penuh dengan lemak, bergula atau berkanji boleh memperlahankan pergerakan usus.

Serat ini lazimnya tidak digemari oleh kanak-kanak, justeru kita boleh mencuba buah-buahan seperti epal, oatmeal, oren, pisang, kentang bakar dan dan bertih jagung.

* Senaman yang cukup

Aktiviti fizikal menggerakkan lagi usus. Jadi galakkan kanak-kanak bersenam dengan melakukan aktiviti-aktiviti mudah seperti bermain tangkap-tangkap dan berbasikal.

* Jadual pemakanan yang tetap

Makanan merupakan rangsangan asli atau semula jadi bagi pergerakan usus. Oleh itu, jadual pemakanan yang tetap menolong mewujudkan pergerakan usus yang rutin.

* Mewujudkan suatu tabiat tandas yang baik

Jika kanak-kanak itu suka menahan bila masa hendak ke tandas, kita boleh memastikan kanak-kanak tersebut duduk di tandas sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari pada waktu yang sama, sebaik-baiknya selepas makan.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Kanak-kanak, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.

Sumber: Utusan Malaysia (24/09/2006)

Popularity: 6% [?]

Posted in Info Kelahiran at 9:04 pm | (No Comments)

KADANGKALA anda tidak boleh melahirkan anak secara biasa dan terpaksa melalui pembedahan di abdomen dan seterusnya di rahim untuk melahirkan bayi yang dikandung.

Prosedur ini dipanggil pembedahan caesarean. Apa yang penting, anda sihat dan anak selamat.

Mengapa anda dibedah?

Ada ibu yang merayu supaya dibedah. Ini merupakan satu isu dan keputusannya sangat rumit dan memerlukan perbincangan serta pertimbangan terperinci.

Kalau demikian niat anda, berbincanglah dahulu dengan doktor anda.

“Biasanya, keputusan pembedahan dibuat setelah anda berada di bilik bersalin menjalani proses kelahiran tetapi gagal disebabkan oleh kepelbagaian faktor yang akan diterangkan oleh doktor pakar perbidanan.

“Ada juga ibu-ibu yang memang dijadualkan secara elektif untuk kelahiran melalui pembedahan disebabkan oleh faktor-faktor lampau,'’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

Lain-lain faktor yang diambil kira termasuklah permasalahan perubatan semasa dan juga mungkin kerana wujudnya masalah-masalah obstetriks (perbidanan) yang menghalang kelahiran normal.

* Mengandung kembar/berganda - ramai ibu yang mengandung anak kembar dua melahirkan anak secara normal. Bagaimanapun, ada segelintir yang memerlukan pembedahan - bergantung bilangan janin dikandung.

Jika lebih ramai maka kebarangkalian untuk dibedah bertambah tinggi. Kedudukan janin turut mempengaruhi cara kelahiran.

* Proses kelahiran terbantut

Berjam-jam lamanya anda di bilik bersalin namun kemajuan pendilatan (pembesaran organ berongga) pangkal rahim tidak berlaku, walaupun ubat diberikan untuk menguatkan kontraksi (pengecutan) .

* Masalah pada janin dikandung

Bayi dikandung mungkin mengalami masalah di dalam rahim, bekalan oksigen tergendala, mungkin tali pusatnya terhimpit, terpulas dan sebagainya mengakibatkan bekalan darah dari uri ke bayi menurun.

Ini dikesan melalui pemerhatian elektronik ultrasound yang dipasang pada abdomen puan. Seterusnya, keputusan pembedahan dibuat.

* Masalah uri

“Uri mungkin berada di bawah (previa plasenta) yang menghalang bayi dari keluar. Satu lagi masalah, apabila uri terpisah dari dinding rahim dikenali sebagai placenta abruption.

“Pendarahan yang banyak berlaku, pengaliran darah serta oksigen kepada bayi terbantut, kematian boleh berlaku,'’ jelas Dr. Shah Reza.

* Sejarah kelahiran pembedahan lampau

Sekiranya anda sudah pun dua kali dibedah, kelahiran kali ini mestilah juga melalui pembedahan.

Seandainya sejarah hanya sekali sahaja, keputusan kali ini bergantung banyak pada kejadian semasa pembedahan lampau.

Contohnya, jika pemotongan pada rahim bukannya di segmen bawah secara melintang, bermakna anda tidak boleh di cuba untuk kelahiran melalui faraj.

* Kemungkinan lain seperti saiz bayi yang besar secara relatif dibandingkan dengan tulang pinggul, kedudukan bayi songsang dan infeksi pada ibu seperti herpes genitalia (inflamasi kulit pada alat kelamin) yang boleh memudaratkan bayi semasa proses kelahiran.

Prosedur pembedahan

Dr. Shah Reza berkata, kebiasaannya di hospital, bilik bedah merupakan satu kawasan larangan.

Suami tidak digalakkan atau mungkin tidak dibenarkan berada di bilik bedah di samping isteri semasa pembedahan dijalankan.

“Jenis pembiusan mungkin secara setempat (anda sedar sepanjang pembedahan), mungkin juga pembiusan menyeluruh (anda tidur sepanjang tatacara).

“Ini bergantung kepada penilaian doktor pakar bius. Kadangkala pembedahan dilakukan kerana kecemasan, jadi tidak sempat persediaan dilakukan seperti pembedahan-pembedah an elektif yang lain.

Persediaan

“Jururawat akan menyediakan anda bagi tujuan pembedahan, ubat diberikan untuk mengurangkan keasidan di dalam perut.

“Anda dikhuatiri akan muntah dan termasuk ke dalam sistem pernafasan yang boleh memudaratkan kesihatan selanjutnya, ‘’ kata Dr. Shah Reza.

Bahagian untuk dibedah akan dicuci, bulu roma yang lebih akan dicukurkan. Tiub kateter akan dimasukkan ke dalam uretra (saluran air kencing) untuk mengosongkan pundi kencing.

Ia boleh mengurangkan insiden trauma pada pundi kencing semasa pembedahan. Ia juga sebagai pengawasan sistem perkumuhan buah pinggang.

Jarum dimasukkan ke sistem pembuluh vena di tangan untuk dimasukkan dengan cecair gantian seperti darah dan juga portal untuk ubat-ubat ke dalam badan anda, semasa dan selepas pembedahan.

Jenis-jenis pembiusan

Ia bertujuan menghilangkan kesakitan serta menenangkan anda semasa prosedur. Pembiusan, kata Dr. Shah Reza, mungkin secara menyeluruh dan juga berbentuk setempat seperti pembiusan epidural ataupun spinal, di mana anda akan sedar sepanjang prosedur.

“Doktor pakar bius akan berbincang dengan anda mengenai jenis-jenis pembiusan yang selamat untuk anda, bergantung sama ada pembedahan tersebut jenis kecemasan ataupun secara elektif. “Yang penting kesihatan puan semasa serta keadaan bayi diutamakan,’ ‘ kata beliau.

Kelahiran

Insisi dilakukan pada kulit dan tisu-tisu di abdomen.

“Lazimnya di Malaysia, insisi (torehan) di kulit dilakukan secara melintang. Otot-otot abdomen tidak dipotong.

“Insisi pada rahim juga secara melintang, ini mengurangkan pendarahan dan penyembuhannya bagus.'’

Bayi akan dikeluarkan melalui insisi yang dibuat. Uri juga dikeluarkan melalui cara yang sama. Untuk kulit, jahitan dibuat, kadangkala stapel digunakan (mahal).

Komplikasi

Sebagaimana pembedahan yang lain, kelahiran melalui pembedahan juga berisiko. Bagaimanapun, risiko jarang berlaku dan ditangani dengan cepat serta berkesan.

Antara risiko-risikonya adalah:

* Infeksi boleh berlaku di rahim, tisu-tisu dalaman dan juga di kulit
* darah boleh hilang dengan pantas dan banyak, memerlukan transfusi (pemindahan) darah
* Insiden ketulan serta pembekuan darah berlaku di pelvis, paru-paru serta di bahagian kaki
* Usus dan pundi kencing juga boleh tercedera
* Reaksi pada ubat-ubat serta pembiusan yang diberikan.

Selepas pembedahan

Kata Dr. Shah Reza, sekiranya pembiusan diberikan dari jenis setempat, anda boleh memegang si bayi selepas pembedahan manakala pembiusan menyeluruh memerlukan masa untuk sedar.

Anda akan dihantar ke bilik pemulihan pembiusan, petanda seperti tekanan darah, nadi, kandungan oksigen dan lain-lain parameter akan dipantau rapat sehingga kesemuanya stabil, sebelum anda dihantar ke wad.

Penyusuan dada digalakkan walaupun baru dibedah. Lazimnya, ubat-ubatan yang diberikan adalah selamat untuk penyusuan dada.

Anda mungkin berada di wad selama tiga, empat hari. Pengawasan lanjut diteruskan walaupun sudah stabil.

Ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain diberikan agar anda selesa dan dapat bergerak seberapa segera.

Kembali ke rumah

Doktor akan membekalkan anda dengan ubat penahan sakit, antibiotik serta vitamin bagi membolehkan penyembuhan berjalan sempurna.

Walau bagaimanapun, anda perlu menjaga kesihatan diri, hadkan aktiviti berat.

Anda juga mungkin mengalami:

* Kekejangan pada bahagian bawah abdomen, terutamanya semasa memberikan susu badan
* Pendarahan dan juga lelehan untuk empat hingga enam minggu
* Pendarahan mungkin dalam bentuk ketulan dan kadangkala kekejangan berlaku semasa ketulan dikeluarkan
* Sakit di bahagian pembedahan.

“Untuk mengelakkan infeksi, jangan masukkan apa-apa cecair, tampon ataupun melakukan hubungan seks untuk beberapa minggu. Seorang suami yang baik seharusnya memahami keadaan isteri sekarang.

“Berikan badan anda masa untuk sembuh sebelum aktiviti-aktiviti lazim. Senaman ringkas yang tidak menyakitkan juga boleh dilakukan,'’ kata Dr. Shah Reza.

Segeralah berjumpa dengan doktor pakar perbidanan puan sekiranya demam berlaku, pendarahan semakin banyak, sakit yang tidak dapat dilegakan atau mana-mana pengalaman yang sebelum ini tidak pernah anda lalui.

Sumber: Utusan Malaysia

Popularity: 10% [?]