undefined

Utusan Malaysia - 26/08/2003

LAPORAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, setiap hari sekurang-kurangnya 1,600 wanita mati akibat komplikasi kehamilan dan kelahiran. Ini bermakna dianggarkan 85,000 wanita mati setiap tahun.

Menurut laporan itu, kira-kira dua peratus daripada kematian itu berlaku di negara-negara membangun tetapi majoriti daripada kira-kira 85,000 kematian setahun di negara membangun dan negara miskin khususnya rantau Asia dapat diselamatkan.

Di Malaysia, kadar kematian ibu mencatatkan penurunan dalam tempoh 40 tahun ini berikutan beberapa faktor termasuklah tahap kehidupan yang semakin meningkat, status pendidikan, penjagaan antenatal dan neonatal yang lebih baik.

Wartawan Roslah Othman melaporkan kertas kerja yang dibentangkan pada seminar Kesihatan Keibuan dan Neonatal: Ke Arah Pendekatan Yang Menyeluruh, anjuran Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Antarabangsa (IAMANEH), di ibu negara baru-baru ini.

SEJAK dua dekad yang lalu, kesihatan reproduktif wanita merupakan satu isu hebat yang diperkatakan.

Ini jelas dapat dilihat, dengan wujudnya program-program dan undang-undang yang menekankan aspek kehamilan, impak kepada bayi dan kesihatan kanak-kanak terbabit.

Menyedari hakikat bahawa setiap manusia di dunia ini berhak dan berpeluang menikmati kehidupan yang sihat persediaan awal diperlukan.

Persediaan ini melibatkan kesihatan dua golongan istimewa iaitu wanita dan kanak-kanak yang dikenal pasti memerlukan perhatian dan penjagaan khusus.

Penekanan kesihatan yang melibatkan aspek kesihatan ini melibatkan proses kehamilan dan kelahiran.

Menurut Pengarah Kawasan Persekutuan Perancang Keluarga Antarabangsa, Datuk Dr. Raj Karim, hakikat yang perlu diakui bahawa kehamilan dan kelahiran merupakan satu proses semula jadi, namun ini tidak bermakna ia bebas dari sebarang risiko.

“Wanita di Malaysia tidak terkecuali menghadapi komplikasi semasa hamil, kelahiran dan selepas bersalin.

“Risiko ini termasuklah dari aspek penyakit, kematian, penjagaan semasa dan selepas kelahiran,'’ katanya.

Sama ada mahu diakui atau tidak, setiap hari, setiap minit ramai wanita mati akibat komplikasi semasa hamil atau kelahiran.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya yang bertajuk Keibuan Yang Selamat Di Malaysia, di Persidangan Kesihatan Keibuan dan Neonatal: Ke Arah Pendekatan Menyeluruh.

Seminar tiga hari ini dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Antarabangsa (IAMANEH), yang antara lain bertujuan membincangkan isu-isu mengenai keibuan yang selamat.

Jelasnya, dalam setiap minit, ada saja bayi mati kerana pengurusan yang tidak sempurna semasa kehamilan dan kelahiran.

Kebanyakan kematian ini berlaku di kalangan wanita miskin di mana keperluan kesihatan mereka sering diabaikan.

Risiko

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan, kematian ibu ialah kematian wanita yang hamil sehingga 42 hari selepas melahirkan anak.

Setiap tahun lebih daripada sejuta wanita di seluruh dunia mati akibat komplikasi kehamilan.

Ekoran masalah ini, berjuta-juta lagi menderita akibat kecacatan kekal yang terpaksa ditanggung seumur hidup.

Lebih mendukacitakan lagi, kesemua komplikasi ini merupakan sesuatu yang boleh dielakkan.

Sebaliknya, wanita di negara-negara maju secara puratanya, mempunyai risiko kematian kehamilan yang terlalu sedikit.

Dr. Raj memberitahu, wanita di Malaysia masih menghadapi komplikasi semasa hamil, kelahiran dan selepas bersalin.

Bagaimanapun katanya, kadar kematian ibu di Malaysia dalam tempoh 40 tahun mencatatkan penurunan hingga 20 kematian dalam setiap 100,000 pada 1996 berbanding 530 kematian dalam 100,000 kelahiran hidup pada 1950.

Menurut beliau, pelbagai sebab yang boleh menyebabkan kematian ini antaranya tumpahan darah semasa hamil, bersalin dan selepas bersalin, jangkitan kuman dan hipertensi.

“Kurangnya kesedaran berhubung pentingnya penjagaan kehamilan sehingga selepas melahirkan anak, antara faktor timbulnya masalah ini.

“Sikap suka melengah-lengahkan pemeriksaan antenatal awal apabila menyedari mereka hamil sebenarnya merugikan,'’ katanya.

Di Malaysia, katanya kematian perinatal, neonatal dan bayi juga menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.

Penurunan ini banyak kaitannya dengan tahap kehidupan yang semakin meningkat, status pendidikan, penjagaan antenatal dan amalan obstetrik dan neonatal yang lebih baik.

“Meningkatnya kecekapan dan kehandalan para anggota kesihatan yang terlatih di sektor kerajaan mahupun swasta turut memainkan peranan dalam menangani masalah seumpama ini,'’ jelasnya.

Perbandingan dengan beberapa buah negara di Asia mendapati, Malaysia mencatatkan penurunan yang agak ketara sebanyak 24.2 peratus dalam tempoh lima tahun (1991- 1996).

Wanita hamil, katanya harus sedar bahawa mereka adalah golongan yang berisiko terdedah kepada sebarang komplikasi kesihatan, justeru hanya pemeriksaan awal dan tindakan susulan dapat dilaksanakan untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini.

Menurut beliau, trend kematian selepas bayi dilahirkan dalam tempoh seminggu (perinatal) yang diperoleh dari WHO mendapati, berjuta-juta bayi mati pada peringkat akhir kehamilan, kelahiran dan minggu pertama kehidupan.

Statistik mendapati, bayi-bayi itu juga mati sebelum atau semasa lahir dan mati dalam minggu pertama kelahiran.

Walaupun jumlah bilangan bayi yang mati pada tahun pertama kelahiran menurun sejak sedekad yang lalu, namun bilangan bayi yang mati pada minggu pertama dilahirkan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Sementara itu, katanya, kematian perinatal ini dikatakan lebih kerap berlaku di negara membangun.

Jumlah ini dikatakan lima kali ganda tinggi berbanding di negara maju. Sebaliknya, keadaan yang lebih kritikal berlaku di bahagian barat, tengah dan timur Afrika.

“Kematian perinatal ini banyak kaitannya dengan status, pemakanan dan penjagaan yang kurang sempurna wanita dan bayi terbabit,'’ jelasnya.

Menyedari hakikat itu, WHO menggariskan empat komponen utama berhubung keibuan yang selamat iaitu amalan perancang keluarga, penjagaan antenatal (ibu hamil), kelahiran yang selamat dan bersih dan penyediaan penjagaan obstetrik asas.

Amalan

Melalui amalan perancang keluarga ini, keluarga terbabit akan dibekalkan dengan pengetahuan mengenai cara untuk menjarakkan anak, bilangan anak dan masa yang sesuai untuk hamil.

Selain itu, setiap ibu yang hamil dapat menerima penjagaan kesihatan yang sempurna bagi mengesan sebarang risiko.

Pengesanan ini dapat mencegah komplikasi yang bakal berlaku akibat daripada kandungan dan proses kelahiran.

Kelahiran yang bersih dan selamat banyak bergantung kepada pengetahuan dan kemahiran pembantu kelahiran di samping penggunaan peralatan suci hama.

Manakala penyediaan penjagaan obstetrik asas amat penting untuk dinikmati oleh semua wanita yang memerlukan.

“Dalam merealisasikan hasrat ini, ia merupakan satu cabaran baru yang memerlukan sokongan dari semua pihak yang terbabit.

“Ini kerana, kesihatan wanita memerlukan satu perspektif yang lebih meluas seperti perancangan keluarga, kehamilan dan kesihatan bayi,'’ katanya.

Dalam hal ini wanita seharusnya bersikap lebih berpandangan jauh dan bersikap lebih terbuka, bahawa kesihatan reproduktif bukan hanya terhad kepada soal-soal sakit puan.

Apa juga alasannya, matlamat yang ingin dicapai ialah setiap ibu berhak memastikan bayi yang bakal dilahirkan selamat dan sihat, pada masa yang sama ibu tersebut juga selamat dan sihat selepas proses kelahiran.

Popularity: 4% [?]

undefined

Urutan bayi kini menjadi teknik popular kerana kebaikannya dari segi perubatan, fisiologi dan emosi.Sentuhan lembut yang diberikan kepada si kecil bukan sahaja menggalakkan pertambahan berat dan koordinasi otot badan bayi, bahkan menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan bayi.

Pengarah Bersama Institut Penyelidikan Sentuhan di Miami, Florida, Dr. Maria Hernandez-Reif, berkata kaedah urutan ini bukan sahaja baik untuk bayi normal, tetapi juga bayi yang memerlukan jagaan perubatan dan berkeperluan khas.

undefined

Berdasarkan kepada kajian yang telah dijalankan, urutan bayi dianggap sebagai terapi sentuhan terbaik, malah memberi sumbangan signifikan kepada peningkatan dan perkembangan bayi yang menerima rawatan perubatan Sindrom Down, Palsi Serebrum, Asma dan Austisme.

“Melalui sentuhan ia bukan sahaja meningkatkan fungsi motor dan memperkemaskan otot kanak-kanak seumpamanya, tetapi juga merangsang sistem pengedaran darah yang dapat memberi kebaikan kepada jantung, pernafasan dan sistem perkumuhan,'’ katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Sentuhan Bantu Bayi Yang Berkeperluan di Yayasan Kiwanis Syndrom Down, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Johnson & Johnson dan Yayasan sempena sambutan ulang tahun ke 10 Program Sentuhan Johnson’s baby di Asia Pasifik.

Katanya, secara psikologinya, sentuhan ini akan membuatkan perasaan ibu lebih terjamin kerana dapat menyumbang sesuatu yang lebih penting kepada bayi. Ini secara tidak langsung dapat merapatkan kemesraan ibu terhadap si anak.

“Kaedahnya mudah dan bahan yang boleh digunakan juga murah, tertakluk kepada pilihan ibu bapa sendiri. Urutan untuk si kecil ini boleh menggunakan minyak atau losen bayi,'’ terangnya lagi.

Beliau berkata, kaedah ini melibatkan urutan di seluruh anggota badan bayi menggunakan sentuhan yang sederhana kuat (cukup untuk mengubah warna kulit bayi dari merah ke cerah).

“Seelok-eloknya ia dilakukan secara berulang-ulang selama 15 minit selepas mandi atau sebelum tidur.

“Sebaik-baiknya, urutan ini dilakukan ketika bayi dalam keadaan selesa dan tidak lapar kerana bayi mempunyai jangkamasa penumpuan yang pendek,'’ ujarnya lagi.

Bagaimanapun, pastikan tangan kita dibasuh bersih dan kuku dipotong pendek sebelum melakukan urutan kepada bayi anda kerana kulit bayi sangat halus dan sensitif.

Ada pelbagai kajian saintifik dijalankan ke atas urutan bayi dan semuanya membuktikan kaedah ini boleh mengekalkan kulit cantik bayi yang halus dan lembut.

Lebih penting, urutan ini juga boleh merehatkan badan dan minda bayi, sekali gus membantu mereka tidur lebih baik.

Popularity: 4% [?]

undefined

Utusan Malaysia - 04/09/2005
Oleh: TAJAIYAH IHSAN

WALAUPUN kempen penyusuan ibu baru sahaja berakhir, namun usaha untuk menggalakkan lebih ramai ibu menyusukan bayi mereka masih diteruskan.

Ini kerana kelebihan menyusukan bayi sendiri adalah yang terbaik dan tiada tandingannya. Ia bukan sahaja bagus untuk si manja malah bagi ibu itu sendiri.

Menurut Pakar Perunding, Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan, sungguhpun sudah ada kesedaran di kalangan ibu-ibu menyusukan bayi mereka tetapi ternyata ia tidak mencukupi.

“Paling penting, mereka perlu menyusukan bayi mereka secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan pertama, barulah dikatakan matlamat menyusukan bayi itu tercapai dan memberi kesan yang cukup positif pada bayi,'’ ujar Dr. Jamiyah.

Jelas beliau, penyusuan eksklusif ini bermaksud, hanya susu ibu diberikan kepada bayi dalam tempoh enam bulan itu tanpa sokongan makanan atau minuman lain (termasuk air masak).

Makanan tambahan hanya dimulakan selepas bayi berusia enam bulan ke atas.

Lebih baik lagi, jika ibu-ibu dapat meneruskan susuan ke atas bayi mereka sehinggalah bayi meningkat dua tahun.

Dr. Jamiyah berkata, “Memang benar sudah ramai ibu yang menyusukan bayi mereka kerana sudah dilatih sebaik sahaja melahirkan anak termasuk ibu yang melahirkan anak mereka melalui pembedahan Caesarean.'’

Malah, ibu-ibu mendapatkan pendedahan awal mengenainya selepas satu jam bersalin daripada jururawat dan mereka yang terlatih di hospital.

Pihak hospital kerajaan dan swasta juga mengambil inisiatif dengan mengadakan kempen penyusuan ibu sempena sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun.

Kempen-kempen ini dianjurkan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan ibu di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Inisiatif Penyusuan Ibu PPUM, memberitahu, pihaknya juga mengadakan sambutan yang sama bertemakan `Menyusu Bayi dan Makanan Keluarga, Sayang dan Sihat’ pada 13 Ogos lalu.

Dr. Jamiyah berkata, walaupun sambutan Minggu Penyusuan Ibu sudah berlalu, program seperti ini berterusan dan aktiviti berkaitan terus diadakan dari semasa ke semasa.

Apa yang jelas, menyusukan bayi dengan susu ibu merupakan langkah bijak dan terbaik ke arah perkembangan dan tumbesaran bayi.

Kepentingan penyusuan ibu menurut Islam:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.'’ - Surah al-Baqarah.

Kelebihan susu ibu

* Susu awal ibu yang menitis pekat berwarna kekuningan mengandungi kolostrum yang tinggi khasiatnya untuk si manja. Antaranya: melindungi bayi daripada jangkitan dan alahan kerana ia kaya dengan antibodi, mencegah jangkitan dan penyakit mata kerana mengandungi vitamin A & E, kematangan usus dan mencegah alahan dan mengeluarkan mekonium dan mencegah jaundis (susu ibu juga sejenis laksatif).

* Mengandungi khasiat zat yang lengkap bagi memenuhi keperluan bayi
* Mengandungi protein, lemak dan asid lemak yang tinggi dan mudah dihadam. Perkembangan sistem penglihatan bayi yang menyusu juga mengumpul DHA di dalam korteks. (Kajian menunjukkan bayi yang menyusu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu susu ibu. - American Journal Of Clinical 1991)
* Melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan
* Mengurangkan penyakit-penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis dan cirit-birit.
* Mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak bila mereka dewasa
* Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi
* Mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang
* Mengurangkan risiko pencemaran berbanding penyusuan yang lain.

Faedah penyusuan terhadap ibu

* Melindungi kesihatan ibu, merendahkan risiko terhadap barah buah dada dan ovari
* mengelakkan pendarahan selepas bersalin
* Menjarakkan kelahiran kerana ia merupakan cara perancang keluarga semula jadi
* Mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut kerana hormon oksitosin membantu mengecutkan rahim
* Mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak
* Penyusuan ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa saja dan di mana-mana sahaja.

Menurut Dr. Jamiyah lagi, biarpun penyusuan ini banyak memberi kelebihan, namun masih ada yang agak keberatan mahu menyusukan bayi mereka.

Senario ini mungkin terjadi kerana kurang pengetahuan mengenai cara menyusukan bayi dengan betul dan selesa atau cara lekapan yang betul tanpa menyakitkan puting buah dada.

“Teknik menyusukan bayi juga perlu betul kerana jika tidak ia boleh melukakan puting buah dada dan membuat ibu serik menyusukan anaknya,'’ ujar Dr. Jamiyah lagi.

Cara yang betul ialah dengan memasukkan puting dan sebahagian kawasan gelap buah dada ke dalam mulut bayi. Puting akan terluka jika dihisap pada pangkal puting sahaja.

“Sebenarnya ibu boleh memilih gaya mana yang mereka selesa untuk menyusukan bayi, duduk atau baring mahupun lain-lain posisi. Apa yang pasti proses penyusuan itu mewujudkan satu hubungan yang akrab penuh kasih sayang antara ibu dan anak-anak.'’

Beliau juga memberitahu, di PPUM, bakal ibu dan bapa digalakkan mengikuti kelas ibu mengandung dan penyusuan ibu. Kehadiran ayah akan memberi sokongan kepada ibu.

Malah kata Dr. Jamiyah lagi, pihaknya juga menggalakkan ibu menyusukan bayinya di depan anak-anaknya yang lain supaya anak-anak memahami mengenainya dan apabila mereka dewasa, ia (penyusuan ibu) sudah tidak pelik lagi.

Proses pengeluaran susu

Pengeluaran susu bergantung pada keperluan dan penghisapan bayi anda. Anak saraf di dalam puting dirangsang apabila bayi menetek.

Kemudian isyarat dihantar ke otak yang menyebabkan pengeluaran hormon prolaktin. Hormon ini memulakan pengeluaran susu dalam buah dada.

Semakin kerap bayi menetek, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan dan lebih banyak hormon bererti lebih banyak susu yang terhasil.

Kala bayi menyusu ia akan merangsangkan pengeluaran oksitosin yang menyebabkan susu mengalir keluar.

Walau bagaimanapun proses mudah dan semula jadi ini tidak akan berjaya jika anda kurang yakin dengan keupayaan diri untuk menyusu atau cemas dan mengalami tekanan.

Kata Dr. Jamiyah lagi, yang penting ibu mestilah berasa seronok dan positif untuk menyusukan bayinya.

Menurutnya, ibu angkat juga boleh menyusukan bayi yang dipelihara bila bayi itu menetek dengannya dan proses itu sekali gus merangsangkan air susu ibu untuk mengalir.

“Terdapat kes-kes yang melibatkan ibu angkat yang berjaya menyusukan anak angkat mereka dengan jayanya,'’ katanya lagi.

Selepas tempoh dua bulan, ibu yang kembali bekerja masih boleh terus menyusukan bayinya.

Mereka boleh menyimpan perahan susu dalam peti sejuk (bahagian dingin beku) beberapa bekas untuk kegunaan bayi dan boleh juga membuat perahan yang sama di pejabat.

Dalam hubungan ini, Dr. Jamiyah berharap majikan boleh mengadakan ruang atau bilik khas buat ibu-ibu yang bekerja.

Beliau juga memberitahu, apa yang penting ibu juga perlu menjaga kesihatan, kebersihan dan makan makanan seimbang.

Dr. Jamiyah juga menambah, walaupun seseorang itu sakit atau menghidap sesuatu penyakit, dia juga layak menyusukan bayinya.

Pesakit HIV positif dan pesakit barah yang dalam rawatan tidak dibenarkan menyusukan bayi kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan bayi.

Tolak tanggapan negatif

Beliau juga menolak tanggapan yang mengatakan ibu yang menyusukan bayinya akan menyebabkan buah dadanya melendut atau jatuh.

Sebaliknya mereka akan mendapati buah dadanya elok asalkan mengenakan coli yang betul dan bersesuaian. Apa juga masalah mengenai penyusuan boleh diatasi andainya mereka merujuk kepada yang arif.

Apa yang penting ibu perlu sentiasa menjaga pemakanan mereka dan kebersihan dari awal mengandung sehinggalah bayi dilahirkan dan seterusnya.

Seperkara lagi banyak kaedah dan tip boleh diberikan kepada mereka yang baru mula menyusukan bayi mereka.

“Saya berharap ramai ibu akan tampil untuk menyusukan anak mereka kerana mereka boleh melakukannya. Istilah susu kering atau apa sahaja, insya-Allah semuanya boleh diatasi. Rujuk kepada yang pakar jika anda mengalami masalah mengenai penyusuan ibu ini,'’ ujar Dr. Jamiyah.

Popularity: 4% [?]